Alangkah indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa
yang dimahukan, hampir semuanya boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana,
ada sahaja yang hendak memberikan layanan ala first class. Jadi kalau ditanya
kepada sesiapa – mahukah menjadi papa ataupun muflis? Jawapannya sudah tentu
tidak!
Namun, dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi
muflis di dunia, ada antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah
berjaga-jaga agar tidak bankrap di akhirat. Sebab itulah ada yang ghairah
mengaut kekayaan dengan bermacam-macam cara sama ada 'halal' ataupun 'haram'.
Tetapi di celah-celah itu juga masih ada terselit segelintir orang yang begitu
ghairah membuat persiapan untuk kaya di akhirat. Cuma sayangnya, mereka papa
pula di dunia.
Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat, pensyarah di Pusat Pemikiran
& Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, seorang Muslim
bukan hanya perlu mengejar kemewahan duniawi, tetapi juga kekayaan akhirat. Ini
bersandarkan kepada sepotong ayat yang terdapat dalam kitab al-Quran.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Hendaklah tuntut kampung
akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah
engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada
manusia) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau
berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang
yang memperbuat bencana itu." (al-Qashash:77)
Tegas beliau lanjut, penilaian kepada muflis di dunia adalah
bersandarkan kepada harta, sementara akhirat pula adalah pahala. Justeru itu,
untuk menjadi individu kaya di 'hari kemudian' kelak, kekayaan harta dunia itu
perlu ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk pahala.
Lakukan transformasi
"Kita tidak boleh mengejar kekayaan hanya untuk di dunia
atau hanya untuk di akhirat sahaja. Kita juga tidak boleh menjadi bankrap di
dunia semata-mata hendak menjadi kaya di akhirat. Kita kena kedua-duanya
sekali. Sebab manusia yang paling baik adalah yang kaya di dunia dan kaya juga
di akhirat. Dengan kata lain, dia kaya harta dan kaya pahala," hurai
beliau.
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor, individu kaya beruntung
kerana dia boleh menukarkan aset dunianya bagi membolehkan dia membuat
pelaburan pahala di akhirat. Hal ini berbeza pula dengan orang yang kurang
berada, apalagi seorang fakir. Namun, golongan yang berada harus ingat – kalau
hari ini dia kaya di dunia, tidak mustahil dia boleh menjadi muflis di akhirat
gara-gara gagal menggunakan hartanya secara berhikmah di jalan Allah. Dan boleh
jadi harta itu juga akan menyebabkan dia lengah masuk syurga.
Namun, bagi yang kurang berada pula, walaupun peluang
menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang kaya, dia juga
sebenarnya turut beruntung. Ini kerana kata Prof Madya Hj Mohd Nor, kurang
harta akan menyebabkan dia kurang berbuat dosa dalam proses pengendalian harta
yang ada.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cara untuk
mengaut pahala demi kekayaan di akhirat. Bagi yang berkemampuan dari segi
material, sudah tentu membelanjakan harta dalam bentuk yang diredai Allah boleh
menukarkan ia kepada pahala. Bagaimanapun, tegas beliau, ada beberapa syarat
yang perlu dipatuhi.
"Syarat pertama, benda yang kita belanjakan itu tidak
termasuk dalam perkara haram. Kedua, niat mestilah ikhlas kerana Tuhan. Ketiga,
kena melakukan dengan sedar. Jika tersilap bagi itu, itu termasuk dalam
kategori tidak sedar. Jadi tidaklah mendapat pahala. Dan yang keempat pula
tidak menafikan arahan-arahan Tuhan yang lain. Kalau cukup syarat tadi,
perbelanjaan harta kita akan bertukar kepada pahala akhirat," jelasnya
sambil menambah semuanya itu turut dikenali sebagai syarat ibadah umum.
Mengulas perihal ada orang yang sanggup menghabiskan
keseluruhan hartanya untuk bersedekah, Prof Madya Hj Mohd Nor berkata, itu
bukanlah cara terbaik untuk membuat pelaburan di akhirat. "Kalau kita
hendak mendapatkan banyak pahala sebagai saham di akhirat, janganlah pula
sampai kita melarat, tidak boleh hidup di dunia... Kita kena tengok model
Rasulullah SAW," ujarnya.
>Mengulas lanjut, beliau memetik kisah
yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad. Baginda pernah bertanya kepada sahabat –
siapa yang mahukan pahala di akhirat dengan menginfakkan harta benda mereka?
Lantas Abu Bakar bangun dan berkata ya. Rasulullah bertanya berapa banyak? Dan
Abu Bakar memberitahu ingin menginfakkan keseluruhan hartanya sehingga yang
tinggal hanyalah rasul dan Tuhan.
Mendengar kata-kata Abu Bakar, Nabi Muhammad
terus berkata tidak boleh. Kemudian Umar Al-Khattab pula menawarkan diri dengan
menginfakkan separuh daripada hartanya. Ini turut ditolak oleh baginda.
Sebaliknya Rasulullah menegaskan bahawa hanya satu pertiga sahaja yang boleh
diinfakkan. Selebihnya adalah untuk diri dan keluarga.
Bersedekahlah kepada keluarga
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor lanjut, walaupun seseorang itu
melakukan sesuatu demi meraih pahala untuk akhirat, dia tidak boleh meletakkan
dirinya di dunia dalam jurang kemusnahan. Dengan kata mudah, seorang Muslim
tidak boleh sengaja menyusahkan dirinya. Selain itu, beliau turut menegur sikap
kebanyakan Muslim yang menganggap sedekah tidak boleh diberikan kepada
keluarga. Tegasnya, ini merupakan antara salah faham yang perlu diperbetulkan.
"Bagi sedekah dalam Islam sebenarnya bermula dari kaum
kerabat dulu. Maknanya kalau kita tidak beri cukup makan kepada keluarga kita,
tetapi kita beri sedekah kepada orang lain walaupun anak yatim, itu sudah kira
salah. Kita kena utamakan keluarga, kemudian baru kepada anak-anak yatim. Kalau
emak kita miskin, kita kena bagi dulu kepada emak. Sebab sedekah kepada emak
itu lebih perlu," beritahunya.
Selain itu, untuk meningkatkan saham pahala di akhirat,
seseorang itu juga perlu berilmu. Ini kerana dengan ilmu tersebut dia akan
bijak membuat pilihan disebabkan dia tahu yang man satu harus menjadi
keutamaan. "Ulama ada kata, orang berilmu buat benda sikit. Tetapi
pahalanya banyak sebab dia tahu mana satu menjadi keutamaan. Dia bijak dalam
mengenal peluang pelaburan."