"Aku bukan orang jahat. Aku tak ada merompak atau bunuh
orang. Aku tak ada sebar fitnah buruk tentang orang lain. Aku tak ada minum
arak. Aku macam muslim biasa. Berpakaian mengikut kebanyakan orang."
"Tetapi kenapa tiba waktu solat, aku malas sangat nak
dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga satu waktu dalam
sehari, bila saat iman naik sikit kan... Sikit je la. Itu pun acuh tak acuh,
macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa. Lepas tu iman
turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa tapi aku tak
mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?"
"Aku bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka
sangat bantu orang lain. Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi
jalan. Aku tak sanggup tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain.
Berpakaian macam perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga
yang tak sempurna. Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang
paling aku risau, aku susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu
berdosa tapi senang sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa
mendirikannya. Kenapa aku jadi macam ni? I...I just don't get
it...Please, help me..."
***
Apa hikmahnya solat dikatakan sebagai tiang agama? Kenapa
solat sangat penting dan menjadi tiang agama? Sebagai seorang muslim, pastinya
anda telah menghafal lumat Rukun Islam yang lima bukan? Ya, kerana solat
merangkumi kelima-lima Rukun Islam tersebut.
Bermula dari Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua
kalimah syahadah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku
bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bacaan syahadatain (dua
kalimah syahadah) dibaca dalam tasyahud akhir yang merupakan salah satu rukun
solat. Yang mana jika tiada dilakukan, maka solat tersebut tidak sah.
Syahadatain ada dalam solat.
Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat lima waktu
sehari semalam. Solat itu sendiri ada dalam perintah solat yang diwajibkan
sepertimana yang terkandung di dalam kitab panduan, Al-Quran. Setiapnya ada
waktu yang telah ditetapkan.
Rukun Islam yang ketiga iaitu menunaikan zakat. Zakat
membawa makna pembersihan dan penyucian. Pembersihan pada harta yang juga ada
padanya hak orang lain dan penyucian terhadap akhlak terutama dari sifat bakhil
selain menanam sifat bertolak ansur serta syukur. Hikmah zakat ada dalam solat.
Suci daripada hadas kecil dan besar merupakan salah satu syarat sah solat
selain memastikan badan, pakaian dan tempat solat suci daripada najis. Solat
juga berperanan untuk menyucikan jiwa tatkala sujud menyembah Allah Yang Esa.
Rukun Islam yang keempat iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan.
Puasa membawa maksud menahan diri dari lapar dan dahaga. Makan dan minum
termasuk antara perkara yang membatalkan solat hatta menelan air liur yang
masih lagi terasa manisnya. Puasa mengajar supaya menahan diri daripada
percakapan yang buruk atau sia-sia. Berkata-kata dengan sengaja selain daripada
Al-Quran, zikir atau doa walaupun satu huruf membatalkan solat. Hikmah puasa
ada dalam solat.
Dan yang terakhir, ialah mengerjakan haji. Tawaf ditunaikan
dengan mengelilingi kaabah yang merupakan kiblat umat Islam sebanyak tujuh
kali. Menghadap kiblat antara syarat sah solat. Demikianlah Hikmah haji juga
ada dalam solat.
Subhanallah!
0 comments:
Post a Comment